JITRA, 12 Julai: “Makcik hanya mampu berdoa kepada Tuhan agar tidak ada apa-apa yang tidak baik berlaku pada keluarga makcik,” itulah luahan Mariam Jusoh, 53, ketika menceritakan saat-saat yang mendebarkan dalam hidupnya apabila bumbung rumahnya ditiup angin kencang pada pukul 4.45 pagi di Kampung Alor Biak, Mukim Jeram, di sini.
Ketika kejadian berlaku, Mariam Jusoh sedang tidur bersama suaminya, Hashim Jusoh, 54 dan hanya tersedar apabila mendengar bunyi angin yang agak kuat dan disertai hujan.
“Ketika itu, makcik sedang tidur dengan pakcik dan terkejut dari tidur selepas mendengar angin kuat dan selepas makcik keluar dari bilik tidur, makcik melihat bumbung di ruang tamu rumah sudah diterbangkan angin,” katanya.
Menurutnya, dia bersama suaminya mengejutkan anak-anak supaya bangun dan keluar dari rumah agar sesuatu kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
“Rumah makcik dimasuki air dan makcik bersyukur kerana anak-anak saudara turut datang membantu membersihkan rumah makcik,” jelasnya.
Akibat kejadian itu, katanya, banyak pokok yang tumbang tetapi tidak menimpa rumah.
Beliau menjelaskan, inilah kali pertama kejadian seperti itu berlaku kepada keluarganya walaupun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Zainab Jusoh, 51, berkata, dia hanya menyedari bumbung rumahnya ditiup angin selepas bangun daripada tidur untuk sembahyang sunat.
“Tiba-tiba makcik terdengar bunyi angin yang agak kuat dan makcik dapati bumbung simen sudah jatuh ke atas lantai dalam rumah,” ujarnya.
Zainab berkata, dia terpaksa mengutip serpihan bumbung simen itu dan membersihkan ruang tamu rumah yang dimasuki air.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kubang Pasu turut turun padang bagi mengenal pasti kerosakan yang berlaku agar bantuan segera dapat dihulurkan kepada penduduk yang terlibat dengan kejadian itu.
Dalam kejadian itu, sebanyak enam buah rumah di kampung berkenaan mengalami kerosakan teruk dan penduduk yang terlibat dalam kejadian itu sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
Sumber: Portal Kerajaan Negeri Kedah
Kami di GALAKSI mengucapkan takziah dan didoakan agar semua mangsa bersabar atas musibah yang melanda.