Pada 5 Ogos yang lalu, Summer Youth Overseas @ Kedah (SYOK) 2010 telah berlangsung di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Alor Star,Kedah. SYOK merupakan program yang julung kali diadakan oleh GALAKSI (Gabungan Pelajar Anak Kedah-Perlis UK Ireland) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah. SYOK pada kali ini bukan sahaja mendapat penyertaan yang amat baik daripada pelajar-pelajar yang akan dan sedang belajar di UK & Ireland, malah melibatkan pelajar yang akan dan sedang melanjutkan pelajaran di Czech Republic.

Ustaz Ahmad Izzat Shauki ( Adun Bukit Lada merangkap Timbalan Speaker DUN Kedah)

SYOK dimulakan dengan ceramah SYOKASE 1 bertajuk Muslim Youth the Spark of Fire yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Izzat Shauki ( Adun Bukit Lada merangkap Timbalan Speaker DUN Kedah). Ceramah berkisar tentang peranan kita sebagai pemuda yang mampu menjadi agen kepada perubahan. Perubahan yang boleh dilakukan oleh pemuda-pemuda Islam adalah seperti mengubah manusia agar menyembah hanya kepada Allah SWT, perubahan daripada agama-agama lain kepada keadilan Islam dan mengubah persepsi manusia yang hanya berfikir tentang dunia kepada akhirat yang hakiki.

YB Dr Haji Hamdan bin Mohamed Khalib (EXCO Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan  Negeri Kedah

Program diteruskan dengan perasmian SYOK 2010 oleh YB Dr Haji Hamdan bin Mohamed Khalib (EXCO Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan  Negeri Kedah) dan ucapan alu-aluan oleh wakil GALAKSI iaitu Saudara Syafeeq Ridzam. Program juga dimeriahkan lagi dengan persembahan multimedia (SYOKMEDIA) dan Pop Quiz (SYOK WAVE).

Ustaz Ahmad Yahya

Para peserta turut mendapat pengisian bagi mempersiapkan diri sebelum berangkat ke luar negara. Ceramah SYOKASE 2 bertajuk Ready to Fly High telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Yahya. Kupasan berkenaan rahsia dalam mendalami ilmu berpandukan 3 konsep utama iaitu ikhlas, taqwa dan harapan telah dijadikan sebagai topik utama ceramah ini.

Saudari Mahfuzah Zainol ( Finalis British Council SHINE International Students Awards 2010)

10 ciri-ciri mukmin yang berjaya telah diketengahkan dalam ceramah yang ketiga, SYOKASE 3 iaitu Shine Your Spirit yang disampaikan oleh Saudari Mahfuzah Zainol, bekas pelajar di Cardiff, UK dan merupakan Finalis British Council SHINE International Students Awards 2010. saudari Mahfuzah turut berkongsi bersama peserta tentang pengalaman beliau belajar di luar negara.

Para peserta turut mendapat peluang beramah mesra dan berkongsi pendapat serta masalah sebelum ke luar negara ketika sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan sesi interaktif. Penyampaian  ucapan penutup oleh Ustaz Rosli menandakan berakhirnya SYOK 2010.

GALAKSI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah yang telah bekerjasama dan menaja SYOK 2010. Tidak lupa juga kepada para peserta yang sudi meluangkan masa menghadiri SYOK 2010. Semoga keindahan ukhuwah yang dibina semasa SYOK 2010 tidak berakhir begitu sahaja dan semoga SYOK  menjadi salah satu medium untuk kita membina ukhuwah dan menimba ilmu sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara.